EMPOWER menemubual, Dr Nora, salah seorang koordinator di Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur yang melakukan kerja-kerja kebajikan untuk golongan asnaf di pusat bandar, khususnya di kawasan Chow Kit.

Boleh ceritakan sedikit kerja-kerja yang telah/sedang anda lakukan untuk membantu mereka yang memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dan mengapa ianya penting?

Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur (ARKL) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan berdaftar yang menyantuni golongan gelandangan di sekitar Chow Kit. Antara khidmat yang ARKL berikan ialah bantuan makanan, merawat luka ringan, menjadi pencari dana sekiranya komuniti memerlukan bantuan kewangan untuk urusan tertentu yang mendesak, menjadi penghubung antara komuniti dengan agensi seperti hospital, pusat pemulihan dadah, rumah kebajikan, Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan.

Dalam konteks komuniti sasaran saya dan pasukan, mereka ini sebahagian besarnya memang tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan.  Sebahagian kecil mendapat bantuan daripada Baitulmal, sebahagian yang Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan mendapat elaun bulanan, namun selebihnya tidak. Kami menggelarkan komuniti ini sebagai rakan jalanan terpinggir kerana sebahagian besar mereka jarang mendapat manfaat daripada bantuan sosial kerajaan. Mereka terdiri daripada bekas banduan, bekas penagih dadah, warga tua yang disisihkan keluarga, individu yang mempunyai masalah mental, individu yang berpenyakit berjangkit seperti TB, HIV dan Hepatitis, pengguna dadah, pekerja seks, golongan transgender, remaja jalanan dan keluarga berisiko. Namun begitu, mereka adalah rakyat Malaysia. Mereka bukanlah penjenayah.  Walau siapa pun mereka dan apa yang mereka lakukan, mereka perlu dilayan sebagai seorang manusia dan mempunyai hak untuk menikmati kehidupan.

Apakah peranan yang telah dimainkan oleh kerajaan atau yang telah gagal dimainkan oleh kerajaan?

Dalam situasi negara sedang diserang wabak COVID19 dan ditambah pula dengan Perintah Sekatan Pergerakan, ia merupakan suatu yang mendadak dan tidak dijangkakan. Dalam konteks kerja sosial, situasi ini dianggap sebagai suatu bencana (disaster). Oleh yang demikian, masyarakat perlu faham bahawa kerajaan tidak mempunyai persediaan yang mencukupi dan tiada perancangan yang teliti dalam hal ini. Di awal penularan wabak, negara perlu memberikan tumpuan kepada aspek kesihatan untuk merawat dan mencegah penyakit.

Maka, dalam hal ini, tidak timbul isu kerajaan gagal memainkan peranannya dalam menjaga kebajikan rakyat. Sebaliknya individu dan Non-Governmental Organisations (NGO) yang prihatin mengambil langkah proaktif membantu kerajaan menjaga kebajikan rakyat yang terjejas.

Tambahan pula, komuniti yang pasukan kami santuni ini memang terpinggir daripada banyak bentuk bantuan kerajaan disebabkan oleh ciri-ciri komuniti itu sendiri iaitu gelandangan primer (tidak mempunyai tempat tinggal – tidak mempunyai alamat untuk urusan surat-menyurat), kehilangan kad pengenalan dan tidak mampu membuat kad gantian kerana kadar denda yang tinggi, tidak mempunyai Mykid (anak tidak sah taraf), tidak mempunyai sijil nikah (kerana berkahwin di negara lain, banyak kes kahwin di Thailand), buta huruf, mengalami masalah mental dan hidup sebatang kara serta lain-lain masalah.

Apa yang anda ingin lihat berlaku pada masa hadapan yang akan datang?

Seperti di negara-negara maju, kerajaan mereka memberi pengiktirafan yang tinggi kepada third force.  Ini kerana sumbangan third force dalam pembangunan sosial sesebuah negara sudah tidak boleh dinafikan.  Tambahan pula, inisiatif-inisiatif third force sebenarnya sedikit sebanyak membantu meringankan beban kerajaan untuk menjaga kebajikan dan mensejahterakan rakyat. 

Oleh yang demikian, saya amat berharap kerajaan Malaysia lebih mengiktiraf peranan NGO dan melibatkan NGO dalam aspek pengurusan bencana pada masa hadapan.  Penglibatan NGO pula bukan sekadar pelengkap, malah sama-sama berada di barisan hadapan bersama petugas kesihatan dan keselamatan.  Sikap memandang rendah kepada NGO dan sukarelawan yang sanggup membantu perlu dihapuskan. Ini kerana setiap daripada mereka mempunyai keperibadian yang mulia, kekuatan diri tertentu, kepakaran tertentu, pengalaman dan niat yang ikhlas untuk membantu kerajaan tanpa mengharapkan balasan upah dan sanjungan.

Apakah bentuk sokongan yang anda perlukan untuk kerja-kerja ini? Apakah impaknya setakat ini? (bilangan mereka yang telah dibantu dan lain-lain)

Jenis sokongan pertama yang saya perlukan dalam menjalankan kerja-kerja sukarela ini ialah pengiktirafan kerajaan dan pihak berkuasa (surat kebenaran/surat lantikan/ kad petugas) bagi memudahkan pergerakan saya  dan melancarkan urusan tugas saya.

Jenis sokongan yang kedua ialah sedikit dana untuk mengerakkan operasi dan menyediakan keperluan bantuan untuk kumpulan sasar.

Dari segi impak, bantuan yang telah saya dan pasukan saya sampaikan sepanjang tempoh PKP ini telah dapat:

    i. memenuhi keperluan asas untuk hidup iaitu makanan kepada lebih daripada 500 individu di komuniti yang kami santuni (walaupun hanya 1 kali sehari)

   ii. memenuhi keperluan asas barang dapur kepada lebih 100 buah keluarga dalam komuniti tersebut

  iii. membantu menampung sebahagian kos tempat tinggal (sewa bilik) kepada beberapa keluarga yang benar-benar terdesak kerana terputus sumber pendapatan dan tiada langsung wang simpanan serta tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.

Adakah kerja-kerja anda mempunyai elemen gender? Adakah kerja-kerja anda memberikan impak kepada wanita secara berbeza daripada lelaki?

Pada pendapat saya, impaknya kepada kaum lelaki dan wanita adalah sama sahaja.  Namun, impaknya kepada keluarga adalah lebih teruk berbanding individu bujang.  Ini kerana kanak-kanak tidak dibenarkan keluarga daripada kediaman dan bekalan makanan diambil oleh ketua keluarga.  Bekalan makanan pula adalah terhad, maka setiap keluarga tidak mendapat kuantiti makanan mengikut bilangan ahlinya dan mereka terpaksa berkongsi.

Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut kerja-kerja yang dilakukan oleh Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur.

Author

Write A Comment