Kesaksamaan gender tidak bermakna bahawa lelaki dan perempuan mesti selalu diperlakukan sama. Memandangkan kewujudan perbezaan seks biologi, adalah munasabah bagi lelaki dan wanita untuk mempunyai hak undang-undang yang berbeza dalam beberapa keadaan. Sebagai contoh, hanya wanita yang boleh memerlukan cuti bersalin khusus untuk kehamilan dan kelahiran.

Kesaksamaan gender adalah melihat lelaki dan perempuan sebagai status dan nilai yang sama. Ia menghakimi seseorang berdasarkan merit mereka, dan tidak melihat mereka sebagai lebih rendah atau unggul semata-mata berdasarkan jantina mereka.

Dalam mengharungi dunia yang didominasi kaum lelaki, wanita perlu berani, berilmu dan mempunyai kemahiran dalam aspek yang diceburi serta hal-hal berkaitan kehidupan seharian. Beberapa peristiwa yang pernah dilalui yang saya rasa ia belaku kerana saya seorang wanita. 

Ketika akhir umur 20an saya memulakan perniagaan sendiri dalam bidang perkhidmatan perundingan dan perlu berhadapan dengan lebih 90% pelanggan saya adalah lelaki. Pelanggan tersebut sering menceritakan isteri beliau yang mengawal beliau dan sifatnya yang garang. Dia menawarkan saya bisnes bersama-sama dengan beliau dan juga menjadi isteri kedua beliau. Saya enggan menerima lamarannya. Tidak lama selepas itu, pada satu hari, saya ada temujanji dengan beliau di pejabat beliau pada pukul 5 petang. Saya pergi bersendirian kerana temujanji diadakan di pejabat dan staf beliau juga akan ada di situ.

Bila saya telah sampai dipejabat beliau, baru saya tahu bahawa kawasan pusat pejabat dalam kompleks perniagaan tersebut telah banyak tutup dan selepas pukul 5 ptg semua staf telah balik. Beliau masih berbincang mengenai bisnes beliau dan selepas staf beliau balik, tiba-tiba beliau menutup dan mengunci pintu pejabat serta datang duduk dekat dengan saya dan merayu supaya saya memberi keputusan. Alhamdulillah saya masih boleh berfikir mencari idea untuk mengelak walaupun pada masa yang sama saya dalam kebimbangan.

Saya terpaksa memberi harapan palsu kepada beliau bagi menyelamatkan diri dan memaklumkan kepadanya untuk memberi masa untuk saya berfikir dan saya ada temujanji lain pada pukul 6 petang. Beliau membuka pintu dan membenarkan saya balik. Selepas itu beliau membuat temujanji lagi pada pukul 5 petang dan saya datang bersama 2 orang staf lelaki dan perempuan saya. Beliau kata saya pandai bawak bodyguard. Selepas insiden tersebut, saya terus membuat keputusan menamatkan perkhidmatan perundingan saya dengan syarikat beliau.

Dalam peristiwa lain pula, saya ke bengkel membaiki kereta untuk membaiki masalah air kereta yang berkurangan sebelum tempoh servis. Saya dimaklumkan bahawa ada beberapa tempat bocor di bahagian enjin dan kos hampir mencecah RM3 ribu. Saya rasa kereta saya elok sahaja dan sedikit sahaja masalah kebocoran air dan saya maklumkan kepada bengkel bahawa saya akan bertanya abang saya dahulu. Saya pergi ke bengkel kereta yang lain dan meminta mereka membuat pemeriksaan. Bengkel tersebut memberitahu sedikit sahaja kebocoran dan kos pembaikan hanya RM320. Saya terfikir adakah kerana saya kerdil dan perempuan pula yang biasanya kurang pengetahuan mengenai hal berkaitan kereta yang menyebabkan bengkel pertama memberikan saya sebutharga yang terlampau tinggi?

Saya juga pernah menggunakan khidmat kontraktor membuat ubahsuai rumah dan saya berurusan sendiri dengan kontraktor. Sebelum membayar bayaran final invois terakhir untuk ubahsuai rumah, saya semak sebutharga dengan ubahsuai yang dibuat. Dalam sebutharga berbeza dengan apa yang telah kontraktor saya buat. Dalam sebutharga menggunakan tile 2 x 2 tetapi kontraktor guna 2 x 1, tile untuk kawasan seluas 20’ x 20’ tetapi hanya buat sekadar 12 x 20. Tangga rumah ke bahagian atas menggunakan kayu dan jarak tangga tidak seperti jarak tangga biasa sedangkan saya kerdil. Saya terpaksa panggil kontraktor lain untuk membaiki tangga dan 5 mata tangga baru ditambah untuk ketinggian tangga yang sama. Beberapa bahagian lain juga terdapat perbezaan.

Saya berpengalaman dalam perakaunan lebih 15 tahun dan saya buat pengiraan setiap item mengikut harga item dalam sebutharga dan saya bayar invois terakhir dengan menolak kos yang dijimatkan dengan pengiraan tiap item merujuk sebutharga dan beliau tidak memberi maklumbalas apa-apa setelah bayaran dibuat. Ini jelas menunjukkan ada segelintir lelaki yang mengambil kesempatan ke atas kita kerana kita perempuan dan menganggap perempuan tidak tahu bidang tugas kaum lelaki seperti urusan ubah suai rumah.

Dalam peristiwa lain, sahabat adik saya, yang telah menamatkan ijazah kejuruteraan dan telah menghadiri temuduga jawatan jurutera sebanyak empat kali tetapi gagal mendapat pekerjaan. Beliau berfikir dan bertanya kawan-kawan mengenai pengalaman mereka dan dia dimaklumkan bahawa beliau memakai baju kurung menghadiri temuduga sebagai jurutera dan temuduga yang kelima, beliau memakai Lounge Suit untuk wanita dan akhirnya temuduga kelima tersebut barulah beliau berjaya mendapat pekerjaan tersebut.

Berdasarkan beberapa peristiwa tersebut, jelaslah bahawa wanita harus mempunyai keterampilan yang bersesuaian mengikut situasi dan pekerjaan dan dalam masa yang sama mengekalkan adab dan tatsusila seorang wanita, sifat maskulin dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta berurusan dalam kerjaya dan aktiviti masyarakat. 

Oleh itu, belia orang kurang upaya (OKU) wanita yang baru ingin memulakan kerjaya atau yang telah berada dalam masyarakat malah wanita secara umumnya, perlu menyediakan diri untuk melangkah kehadapan dalam membina kehidupan yang berkualiti dalam  masyarakat. Antara persediaan yang diperlukan samada inisiatif dari pihak kerajaan atau pelbagai agensi atau OKU itu sendiri perlu proaktif dalam menyiapkan diri adalah seperti berikut:-

  1. Persediaan menghadiri temuduga dengan ilmu-ilmu berkaitan pekerjaan termasuk pekerjaan yang dikuasai lelaki supaya dinilai dan dilihat sama kelayakan dan kemahiran yang ditetapkan oleh majikan dan layak menerima kedudukan, gaji dan ganjaran yang adil dan telus.
  2. Pihak agensi bertanggungjawab menyediakan kursus atau OKU sendiri menghadiri kursus-kursus atau program pendidikan yang membolehkan OKU wanita dapat memilih pekerjaan yang berorientasikan masa depan dan menjanjikan kestabilan ekonomi, tanpa mengira jantina mereka.
  3. OKU perlu lebih proaktif dan kreatif dalam memahami kehendak semasa, situasi dan pekerjaan yang diceburi dan memastikan OKU mampu menepati keperluan tersebut.
  4. Bina pelbagai kemahiran dan ilmu agar dapat meluaskan skop bakat OKU. Oleh itu, pelbagai pilihan dalam mengatasi halangan dalam melangsungkan kehidupan dapat diatasi.
  5. Bina rangkaian dengan wanita lain melalui berpersatuan dan pelbagai saluran komunikasi yang ada masa kini serta menghadiri program anjuran pelbagai agensi yang ditawarkan kepada OKU. Rangkaian, informasi bernilai dan peluang bimbingan boleh membantu belia serta wanita OKU membina keyakinan dan mengembangkan kerjaya mereka.

Selain itu, pihak agensi memberi peluang kepada OKU dan OKU juga perlu bersedia:

  1. Terima tanggungjawab kepimpinan jika diberi peluang untuk membina kemahiran diri.
  2. Mengambil peluang dapat menyertai dalam mesyuarat atau pelbagai aktiviti perancangan dalam mana-mana organisasi.
  3. Belajar kemahiran komunikasi seperti pengucapan awam dan lain-lain supaya mempunyai kemahiran berhujah dan mempengaruhi orang lain supaya suara anda dapat didengari dan diterima.
  4. OKU wanita yang mempunyai kemahiran pula, hendaklah menjadi mentor, penaja, juara dan penyokong wanita OKU yang lain yang memerlukan bimbingan.
  5. Mulakan atau sertai inisiatif di tempat kerja yang menjaga kesaksamaan gender.
  6. Mempromosikan wanita kepada peranan kepimpinan jika ada OKU yang berada dalam kedudukan yang sesuai untuk berbuat demikian.
  7. Menyertai atau menjadi sukarelawan untuk menyokong program kemasukan semula kerjaya bagi OKU.
  8. Membantu mendidik generasi OKU akan datang dalam membina keyakinan diri dan keberanian supaya mereka juga boleh menjadi suara untuk perubahan.

Persoalan jantina dan kesaksamaan atau kesamarataan adalah termasuk dalam membincangkan soal personaliti wanita tersebut. Dalam membincangkan aspek personaliti yang juga dimaksudkan sebagai akhlak adalah merangkumi aspek dalaman dan luaran.

Akhlak adalah satu sistem yang menjadi asas kepada semua sistem kehidupan yang lain samada aspek rohani, fizikal, sistem masyarakat, sistem ekonomi, sistem perundangan, sistem pemerintahan dan lain-lain. Oleh itu samada lelaki atau wanita tertakluk kepada sistem akhlak ini yang dapat mengelakkan dari perlakuan negatif gangguan seksual, diskriminasi, keganasan terhadap wanita dan persepsi memandang rendah terhadap kebolehan wanita. 

Dr Ruziah Ghazali merupakan Penasihat Kehormat Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia, beliau juga mempunyai pengalaman 25 tahun sebagai motivator dan penceramah bebas.

Photo by cottonbro from Pexels

Artikel ini adalah pandangan, pendapat dan idea peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian EMPOWER Malaysia.

Write A Comment