Pada awal penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami telah berkesempatan untuk menemubual Puan Akmar dari Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai kerja-kerja kebajikan yang mereka lakukan untuk membantu golongan gelandangan dan asnaf di Chow Kit.

Boleh ceritakan sedikit kerja-kerja yang telah/sedang anda lakukan untuk membantu mereka yg memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dan mengapa ianya penting?

Sekarang kita ada memberi bantuan makan (feeding) lah untuk golongan gelandangan dan juga untuk mereka yang menyewa di bilik-bilik kecil di sekitar Chow Kit. Mereka ni kerja hari. Ada kerja, ada gaji. Bilik sewa pun dibayar hari. Bila dah tak ada kerja, tak ada duit, kemudian tak boleh makan dan tak boleh bayar sewa. Jadi kami fokus kepada golongan ini sebab kami tahu mereka ada yang pasangan suami isteri, ada anak dua tiga. Memang mereka tiada duit langsung. Kami bagi makanan dan juga barang keperluan dapur, susu dan lampin anak-anak mereka. Kami tahu adanya penempatan dan tempat-tempat yang dikhaskan untuk memberi makanan, tetapi, bila mereka terpaksa berjalan jauh untuk ke tempat tersebut dan terpaksa keluar beramai-ramai pada waktu tertentu yang ditetapkan, ada yang terpaksa bawa anak sekali pergi sebab tiada yang menjaga, jadi kami ambil keputusan untuk pergi dekat dengan mereka. Kalau diteruskan mereka perlu keluar dari bilik beramai-ramai untuk mendapatkan bantuan dan bekalan, PKP ini mungkin tak berjaya. Disebabkan itu kami yang pergi mencari, mendekati sendiri mereka yang terpinggir ini. Kami cuba mengurangkan bebanan mereka untuk perlu berjalan jauh dan juga risiko mereka dijangkiti virus, seterusnya meredakan sedikit keadaan.

Kami cuba mencari dana untuk kami tolong bayar sewa bilik mereka, sekurang-kurangnya separuh pun jadi lah. Mereka tiada apa langsung untuk bayar sewa bilik. Bermula dari 18hb Mac tak bayar bilik, kita pun dah lebih sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi sangat mendatangkan masalah pada mereka. Memang kita tahu ramai juga warganegara asing, tapi kita faham mereka di sini jadi kita kena tolong. Kami akan beri bantuan makanan setiap hari sebab mereka pun mengadu pada kami nak cari makanan sehari pun susah. Bila kami datang memberi makanan, itulah sumber makanan mereka sehari-hari.

Semasa melakukan pemberian makanan pun kami ikut Standard Operating Procedures (SOP) dengan kekalkan jarak 1 meter dan sentiasa mencuci tangan. Kami pun ambil kesempatan ini untuk ajar mereka cara cuci tangan yang berkesan, dan juga terangkan kepada mereka tentang keadaan semasa. Jadi sebenarnya banyak yang kita boeh buat selain memberikan makanan, kita juga berperanan sebagai mediator untuk memberi maklumat yang betul kepada mereka.

Apakah peranan yang telah dimainkan oleh kerajaan atau yang telah gagal dimainkan oleh kerajaan?

Kerajaan dah ambil langkah yang terbaik. Memang apa yang kerajaan buat untuk golongan gelandangan, golongan yang kami fokuskan sekarang ni memang terbaik. Tapi mungkin kerana ianya tidak mencukupi. Kerajaan sepatutnya dibantu juga dengan pihak-pihak NGO yang fokus kepada membantu golongan ini. Sepatutnya kerajaan berganding bahu dengan lebih ramai NGO untuk membantu. Sebab kita tahu golongan ni ada yang kita nampak, dan ada yang kita tak nampak.

Contohnya macam golongan rakan jalanan kami yang terpinggir ini. Golongan pekerja seks, pengguna dadah, transgender. Mereka ni tak duduk setempat. Kejap ada kat sini, kejap kat sana. Susah untuk mengenalpasti keberadaan mereka. Mereka pun sukar nak pergi ke tempat macam tu (tempat pemberian bantuan) sebab mereka dah biasa di luar, dan bila mereka tahu ada operasi mereka akan lari. Jadi, peranan NGO adalah untuk mendekati mereka, pujuk mereka. Kalau katakan mereka ingin pergi ke tempat pemberian bantuan itu, kami akan bawa mereka. Bukan nak kata kerajaan tak buat apa-apa. Kerajaan pun kita tahu dah cuba sedaya upaya membantu, tapi harapan kami adalah lebih banyak NGO yang diberikan kebenaran untuk membantu.

Apa yang anda ingin lihat berlaku pada masa hadapan nanti?

Kami mengharapkan pada masa hadapan, jumlah gelandangan yang ada sekarang ini, tak kira daripada kluster apa sekali pun, pengguna dadah, pekerja seks, transgender, dibantu apa yang patut. Contoh macam sekarang ni, mereka diberikan penempatan sementara. Diharapkan penempatan tu akan dikekalkan. Di situ kita boleh berikan kemahiran yang sepatutnya untuk mereka cari kehidupan mereka sendiri setelah keluar dari situ dan tidak lagi menjadi gelandangan. Ini lah peluang sebenarnya, bila kita dapat himpunkan mereka, kita dapat tengok apa yang mereka boleh buat, apa yang mereka tak boleh buat, dan apa yang kita kena buat untuk mereka.

Apakah bentuk sokongan yang anda perlukan untuk kerja2 ini? Apakah impaknya setakat ini? (bilangan mereka yg telah dibantu dan lain-lain)

Kami memerlukan sokongan daripada lebih ramai NGO, daripada pihak berkuasa contohnya pihak polis, RELA untuk bantu kami mengawal keadaan. Sebab kita lihat sekarang, dalam keadaan semakin mendesak ini, mungkin akan terjadinya pergaduhan, rusuhan, sebab mereka memang betul-betul terdesak. Hal ini kerana mereka sudah tiada apa yang boleh dicari, seperti bekalan makanan, bekalan susu anak dan sebagainya. Kami pun tidak mampu untuk sediakan keperluan mereka, yakni bila mana mereka minta pada hari tersebut, hari itu juga kami boleh sediakan, tidak. Kami pun kena berusaha mencari. Jadi, kami mahu semasa kami membahagikan bantuan, adanya mereka terutama pihak berkuasa yang boleh mengawal keadaan, seterusnya proses ini akan menjadi lebih mudah.

Adakah kerja-kerja anda mempunyai elemen gender? Adakah kerja-kerja anda memberikan impak kepada wanita secara berbeza daripada lelaki?

Tiada elemen gender yang kami kesan. Kami layan sama rata, lelaki ke perempuan ke. Siapa sahaja. Apa yang setiap daripada mereka minta, semua pun layak dapat ikut apa yang kami mampu beri. Cuma, sekarang kami fokus kepada ahli keluarga, sebab ada yang dah berumur, ada anak, ada isteri yang perlu mereka beri makan.

Dapatkan maklumat terkini mengenai Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur di sini.

Author

Write A Comment