Kerapkali kita membaca atau menonton berita mengenai gejala gangguan seksual, dan apabila ia berlaku ramai menuntut untuk pelaku-pelaku ini dibawa ke muka keadilan dan dijatuhkan hukuman, tetapi adakah ini boleh berlaku dengan undang-undang yang sedia ada?

Sebelum kita menjawab persoalan ini, jom kita definasikan gangguan seksual terlebih dahulu.

Gangguan seksual adalah didefinasikan sebagai kelakuan seksual yang tidak diingini, sama ada dalam bentuk lisan, bukan lisan, gambaran, isyarat atau fizikal, ditujukan kepada seseorang, yang menyebabkan penghinaan atau memalukan atau mengancam kesejahte­raannya, yang timbul sepanjang tempoh pekerjaannya.

Jadi, bolehkah mangsa gangguan seksual membawa pelaku ke mahkamah?

Ya, sejak 2016, mangsa gangguan seksual kini boleh menfailkan saman sivil terhadap pelakunya.

Sebelum 2016, jika berlakunya kes gangguan seksual di tempat kerja, segala keputusan atau hukuman hanya diuruskan oleh pihak majikan atau syarikat terbabit tanpa perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa. Ini kerana tindakan sivil bagi kes gangguan seksual tidak wujud sebelum ini. Oleh itu, ramai pelaku gangguan seksual hanya diberi amaran atau diberhentikan kerja tanpa dikenakan tindakan undang-undang.

Jadi, kes apakah yang menjadi pendahulu kepada perubahan ini? Mari kita teliti kes bersejarah yang membantu membuka jalan kepada mangsa gangguan seksual untuk menyaman pelaku mereka.

Kronologi Kes Asmah Hj. Mohd Nor Vs Mohd Ridzwan Abdul Razak

Pada 2009. Asmah Hj. Mohd Nor bertugas di Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai Pengurus di bawah Pengurus Besar, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Mohd Ridzwan Abdul Razak.

Sepanjang perkhidmatannya, Asmah telah menjadi mangsa pelbagai gangguan seksual daripada majikannya, Mohd Ridzwan.

Pada 29 Julai 2009, Asmah telah membuat laporan kepada CEO TH diatas segala salahlaku Mohd Ridzwan terhadapnya.

Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menangani laporan ini, malangnya, setelah melakukan penyiasatan dari 1 September 2009 sehingga 16 September 2009, mereka telah memutuskan bahawa tiada bukti yang cukup untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap Mohd Ridzwan, malah beliau hanya diberikan amaran oleh Jabatan Sumber Manusia TH.

Keputusan ini telah mendorong Asmah untuk memohon pertukaran ke jabatan lain.

Mohd Ridzwan pula tidak berpuas hati kerana penyiasatan terhadap beliau telah menjejas reputasinya sebagai seorang Muslim yang baik dan juga menggugat kerjayanya di TH seterusnya menfailkan saman terhadap Asmah dengan dakwaan bahawa segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata.

Asmah pula membalas dengan menyaman balik Mohd Ridzwan dan memohon gantirugi diatas tekanan mental dan emosi yang beliau tempuhi hasil daripada gangguan seksual yang dilakukan oleh Mohd Ridzwan.

Apakah yang dilakukan oleh Ridzwan terhadap Asmah?

Antara gangguan seksual yang dilakukan oleh Ridzwan adalah:

Menghantar mesej berunsur lucah seperti:

Kalau cari husband cari yang beragama, bertanggungjawab, macam I’,

You kena buat sembahyang istikharah dan kalau you mimpi, you akan berjimak dengan orang tu.”

Kalau you nak tahu ‘benda’ lelaki tu berfungsi ke tak ikut orang-orang tua, ikat ‘benda’ tu dekat tali. Tali tu sambungkan dengan buah kelapa. Kalau buah kelapa tu terangkat, maksudnya ‘benda’ tu ‘good’.’

Sexual graph of a person, men after 50 is no use. Kalau 20 it shoot up. 30 graf turun. When 40, it shoots up again.’

“You nak kahwin dengan I tak, I banyak duit tau”

You ni selalu sangat sakit. You kena kahwin tau. You nak tak laki orang”

Hasil daripada gangguan yang terpaksa dihadapi olehnya, pakar sakit jiwa professional juga telah mengesahkan yang Asmah telah mengalami kemurungan yang serius akibat daripada perbuatan Mohd Ridzwan.

Pelaksanaan Tort Gangguan Seksual

Setelah meneliti segala bukti-bukti di dalam kes Asmah terhadap Mohd. Ridzwan, pihak panel hakim mahkamah persekutuan telah menyedari bahawa kes ini tidak tertakluk di bawah mana-mana undang-undang yang sedia ada.

Oleh itu, pihak panel hakim telah bersepakat untuk melaksanakan aktivisme kehakiman dan mengimport tort gangguan ke dalam sistem undang-undang dan kehakiman negara serta memasukkan jenayah gangguan seksual di bawahnya.

Sejak wujudnya tort gangguan seksual ini, mana-mana rakyat Malaysia yang mengalami gangguan seksual, kini bukan hanya perlu bergantung kepada Akta Kerja 1955 tetapi mereka juga boleh memfailkan saman terhadap pelaku mereka.

Ini merupakan permulaan yang baik tapi lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk melindungi mangsa gangguan seksual, terutamanya dari segi undang-undang. Pada Ogos 2019, Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) telah menyeru kerajaaan Malaysia untuk memberi garis masa yang jelas untuk penggubalan dan pelaksanaan Akta Gangguan Seksual.

Akta ini sangat penting kerana ia boleh menangani kelemahan dan kekurangan dari segi perundangan dan peraturan yang sedia ada serta melindungi hak-hak mangsa jenayah gangguan seksual. Undang-undang khusus boleh memastikan pelaku gangguan seksual dikenakan tindakan dan dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan jenayah mereka dengan harapan supaya perkara sebegini boleh dibendung dengan lebih berkesan.

Rujukan: https://asklegal.my/p/tabung-haji-sexual-harassment-tort-malaysia https://www.malaysiakini.com/news/343917 http://www.foongchengleong.com/judgements/Mohd%20Ridzwan%20bin%20Abdul%20Razak%20v%20Asmah%20Binti%20Hj%20Mohd%20Nor%20(FC).pdf

Author

Write A Comment