Hingga kini, Malaysia tidak mempunyai akta khas untuk melindungi mangsa gangguan seksual. Mangsa gangguan seksual hanya boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan Akta Kerja 1955 (Akta 265).

Akta Kerja 1955 melalui pindaan 2012, mewajibkan syarikat untuk menyiasat aduan kes gangguan seksual pekerja di bawahnya. Panduan Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang digubal oleh Kementerian Sumber Manusia juga menggariskan prosedur untuk membuat laporan kes gangguan seksual dan mengesyorkan beberapa bentuk perlindungan dan pampasan kerja untuk mangsa gangguan seksual.

Untuk penjawat awam pula, Jabatan Perkhidmatan Awam ada mengeluarkan pekeliling pada 2005 dengan garis panduan bagaimana untuk menangani isu gangguan seksual.

Adakah Kod Amalan & Garis Panduan JPA yang disediakan memandai?

Secara jujurnya memang tidak.

Undang-undang khas untuk menangani gangguan seksual perlu kerana:

Untuk memudahkan mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku

Di Malaysia, mangsa gangguan seksual boleh mengambil tindakan menyaman pelaku tetapi ini bermakna mangsa terpaksa melantik peguam sendiri dan membayar kos guaman yang boleh menelan belanja yang tinggi. Mereka juga perlu menanggung risiko kekalahan yang boleh menyebabkan mereka terpaksa membayar pampasan kepada pihak yang disaman.

Proses ini juga boleh mengambil masa yang panjang kerana ia berpotensi melalui beberapa tahap rayuan. Identiti mangsa juga diketahui umum sepanjang proses ini.

Dengan adanya Akta Gangguan Seksual, segala jurang atau masalah untuk membawa pelaku ke mula keadlilan boleh ditangani secara spesifik dan identiti mangsa juga boleh dilindungi.

Menyediakan skop yang lebih menyeluruh untuk melindungi mangsa gangguan seksual di semua ruang

Kod Amalan hanya dipraktikkan oleh syarikat secara sukarela. Syarikat boleh memilih untuk mengamalkannya atau tidak tanpa perlu dikenakan tindakan undang-undang. Kedua-dua Kod Amalan dan Garis Panduan (JPA) hanya menangani isu gangguan seksual di tempat kerja, oleh itu, hukuman paling berat yang boleh dijatuhkan kepada pelaku adalah hanya dengan memberhentikan mereka daripada bekerja.

Satu akta khas untuk menangani jenayah gangguan seksual secara menyeluruh perlu ada untuk melindungi mangsa yang mengalami gangguan seksual di tempat kerja serta di luar tempat kerja.

Untuk melindungi mangsa gangguan seksual supaya mereka merasa selamat untuk membuat laporan

Akta Gangguan Seksual boleh memberi perlindungan kepada mangsa dengan wujudnya undang-undang yang membolehkan mereka membuat laporan dengan selamat dan mengelakkan mereka daripada disaman fitnah.

Sebagai contoh, Akta Perlindungan Gangguan Singapura membolehkan mangsa bukan sahaja memperolehi perintah perlindungan atau larangan terhadap pelaku tetapi mereka juga boleh mempercepatkan tindakan sebagai perlindungan tambahan kepada mangsa.

Ini membantu mangsa untuk merasa lebih selamat untuk membuat laporan terhadap penganggunya.

Sejak 2001, Joint Action for Group Gender Equality (JAG) yang merupakan gabungan 13 organisasi wanita di seluruh Malaysia telah mengemukakan draf pertama Akta Gangguan Seksual kepada kerajaan. Setelah beberapa penundaan, baru-baru ini YB Puan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memberi kenyataan bahawa Akta Gangguan Seksual akan dibentangkan di parlimen dalam tahun ini, ini merupakan perkembangan positif yang kita harap dapat membuka jalan untuk akhirnya memperkenalkan Akta Gangguan Seksual ke dalam sistem perundangan negara kita.

Author

Write A Comment