Ingat tak filem Kuch Kuch Hota Hai  pada tahun 1990an lakonan Kajol dan Rani Mukherjee digandingkan bersama Sharukh Khan?  Cuba kenang kembali plot cerita tersebut. Kemudian, cuba rangkaikan deretan wayang Bollywood sekitar tempoh itu. Selain daripada perebutan cinta antara dua perempuan dan seorang lelaki, lagu dan tarian sekurang-kurangnya 8 minit sebuah lagu, cinta dua darjat, stereotaip lelaki mahupun perempuan adalah terlalu biasa sekali. Gambaran perempuan di dalam filem di India melalui proses evolusi yang panjang.  Banyak kritik yang telah dilakukan ke atas seni perfileman India. Daripada watak isteri yang pasif ke sosok keibuan yang menderita tak henti-henti ke watak perempuan yang merdeka dan bebas di abad ke-21*. 

Aku sangat menikmati filem Bollywood sejak lama dulu. Mungkin irama lagu-lagu yang membuai, bait-bait liriknya yang mencuit perasaan, tetapi tidaklah aku terpukau dengan plot penceritaannya yang saban kali mengangkat penderitaan perempuan sebagai lambang kesatriaan, mengagungkan lelaki dengan sewenang-wenang. Aku jadi jemu dengan jalan cerita seputar itu sahaja. Filem-filem di Malaysia pun sudah dikuasai dengan tema yang serupa, mengotak dan melemahkan perempuan, memaksa norma sistem baka (patriarchy) ke atas perempuan dan lelaki. Jelak.

Namun, hatiku masih belum kukatup buat filem-filem Bollywood. Pucuk dicita ulam mendatang. Sebuah filem yang memberdayakan perempuan yang menampilkan perempuan sebagai karakter pemberani masuk ke panggung wayang pada tahun 2016. Tentu saja aku tertarik untuk menonton pada waktu itu kerana sinopsis filem yang menggoda minda. Aku beri peluang kepada Pink. Ringkasnya, filem ini menyentuh tentang keizinan (consent) perempuan, ciri khas pola pemikiran lelaki dan norma masyarakat yang menilai karakter seseorang berdasarkan alasan yang tak  alasan. Aku jenguk Netflix, filem ini ada disitu, ambillah masa untuk menilai sendiri. 

Bagi aku filem ini mempunyai isi idea yang melanyak filem-filem cinta basa basi yang terlalu sering dijamu di dalam filem Bollywood. Ia berjaya menyoroti sisi-sisi gelap sistem baka (patriarchy) yang melemahkan perempuan secara berstruktur melalui institusi kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan norma masyarakat. Sudah tentu, ada banyak lagi isu lain yang disentuh oleh penulis filem. Namun ketiga-tiga hal yang aku sebutkan ini, paling sukar difahami oleh ramai orang yang mengecam gerakan pembebasan perempuan, gerakan feminism. 

Aku beri contoh-contoh mudah daripada filem Pink ini. Apabila ketiga-tiga gadis malang ini difitnah sebagai pelacur atasan setelah hampir diperkosa oleh Rajveer, seorang jejaka yang mempunyai keluarga kaya yang berkuasa bersama dengan teman-temannya. Seperti yang diduga, tentu saja Rajveer menggunakan pengaruh keluarganya untuk menutup kejelikan perangai tersebut. Menggunakan wang ringgit, bukan sahaja dia bebas, malah survivor perkosaan pula yang ditangkap. Tentu saja ini revictimise survivor yang menjadi korban kepada jenayah seksual. Belum habis trauma jenayah seksual ke atas mereka, mereka difitnah dengan stigma masyarakat yang menghakimi mangsa, dan mempercayai pula pelaku jenayah, mereka menjadi semakin tidak berdaya akibat kebobrokan sistem undang-undang yang melemah dan meminggir mereka yang sepatutnya dilindungi. Contoh kedua, di dalam peraturan undang-undang sendiri sebagaimana digambarkan di dalam filem Pink, undang-undang yang dipermukaan nampak elok dan adil, memungkinkan ketidakadilan sebagai akibatnya. Babak yang jelas menggambarkan situasi ini adalah, apabila peguam lelaki kepada survivor menyenaraikan peraturan prosiding kes di mahkamah. Jelas ia mengukuhkan lagi stereotaip perempuan. Ini berlaku bukan sahaj di India, di Malaysia malah dimana-mana sekalipun. Demikianlah, kita wajib kritikal terhadap sistem perundangan yang menghasilkan ketidakadilan.

Di Malaysia, pembahagian harta sepencarian antara seorang lelaki/suami dan perempuan/isteri Muslim mempunyai konotasi neutral, boleh menyebabkan ketidakadilan kepada yang lemah, terutama sekali si isteri oleh kerana peruntukan undang-undang yang genderless. Contoh lain, seksyen 377 Kanun Keseksaan yang lebih mesra dikenali sebagai undang-undang liwat. Golongan mana menurut anda lebih rentan dan terbeban dek wujudnya peruntukan ini? Pandangan aku, ini adalah medan pemencilan dan penistaan teman-teman homoseksual. Padahal perbuatan liwat adalah hanya satu perbuatan daripada banyaknya perbuatan seksual di dalam aktiviti seks. Oleh itu, pelakunya boleh jadi antara lelaki dan perempuan, atau lelaki dan lelaki. Tambahan lagi, seksyen ini membelakangkan konsep keizinan (consent) yang begitu penting membezakan hubungan seks yang direlai atau rogol. 

Ini menunjukkan bagaimana undang-undang, disebalik objektif akhirnya untuk melindungi dan menghasilkan keadilan kepada yang ditindas, undang-undang juga adalah buta dan boleh dimanipulasi, bergantung dimana posisi kita di dalam struktur masyarakat, identiti sosial dan lain sebagainya. Undang-undang tidak wujud secara berasingan, ia berubah-ubah mengikut dinamik hubungan kuasa sesama manusia.  Oleh sebab itu, undang-undang mesti selari dengan konteks semasa masyarakat, mesti ditinjau ulang dari masa ke semasa.

Ketidakpuasan hati aku berkenaan filem ini hanyalah, Amitabh Bachan yang memegang peranan sebagai peguam, ditonjolkan sebagai penyelamat. Ibarat kata, a princess in distress waiting for their prince to save her. Mungkin juga, Amitabh ialah pelaris kepada penjualan filem in ke penduduk massa. Aku bersangka baik sahajalah.

 *Patriarchy and Prejudice: Indian Women and Their Cinematic Representation, Abina Habib [http://www.ijlll.org/vol3/113-CL021.pdf]

Photo by Murtaza Saifee from Pexels

Artikel ini adalah pandangan, pendapat dan idea peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian EMPOWER Malaysia.


Author

Write A Comment