Dari 15 May 2020 ke 15 Jun 2020, EMPOWER Malaysia telah menganjurkan pertandingan esei dengan tema “Kebebasan Mengekspresikan Diri Tanpa Gentar”. Ini merupakan antara esei terpilih daripada kategori di bawah 18 tahun. Fakhri, 16 tahun, berkongsi pendapat dia mengenai cara-cara bagaimana remaja di abad ini boleh mengekspresikan diri mereka.

Teruja kenari di tepi pulasan,

Pegun nak dara gemersik suara,

Remaja kini tinggi wawasan,

Tunggak kejayaan aspirasi negara

Pantun di atas jelas sekali menunjukkan bahawa remaja kini merupakan tunjang kecemerlangan sesebuah negara. Mereka inilah pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, sikap dan mentaliti masyarakat pada hari ini telah membantutkan remaja untuk mengekspresikan diri .

Kecaman demi kecaman dari masyarakat telah berlaku kepada remaja pada masa kini sama ada dalam kehidupan realiti mahupun dalam talian. Buli, gangguan, troll dan sebagainya telah menjadi satu keganasan yang mungkin akan dihadapi oleh remaja yang mengamalkan berekspresi diri secara bebas. Persoalannya, apakah cara yang perlu dilakukan oleh remaja untuk mengekspresikan diri? Baiklah! Kini tiba masanya saya akan mengutarakan pendapat saya bagi melihat remaja untuk mengekspresikan diri secara bebas.

Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang cara yang perlu dilakukan oleh remaja untuk mengekspresikan diri di depan khalayak ramai. Caranya ialah remaja perlulah bercakap dengan jelas dan menyakinkan. Sudah menjadi lumrah untuk remaja melalui situasi ini terutamanya di sekolah. Contohnya, inilah sering berlaku apabila guru bertanya “Ada soalan?”. seribu kali sayang, kebanyakkan remaja akan menunduk kepala ke bawah dan diam seolah-olah mereka sudah faham apa yang telah diajarkan oleh guru.

Malangnya, mereka sebenarnya takut untuk menyatakan pendirian mereka. Oleh itu, amat diperlukan remaja untuk membuka mulut dan memberikan pendapat dengan seyakin-yakinnnya. Ia bukan sahaja menolong ada memantapkan kemahiran berbicara bahkan membantu orang lain yang mungkin mempunyai soalan yang sama tetapi takut untuk bersuara. Jadi, anda akan dilihat sebagai bakal pemimpin yang serba boleh kerana mempunyai sifat yang yakin di hadapan khalayak ramai.

Melihat daripada perspektif yang lain, cara lain remaja untuk mengekspresikan diri ialah mementingkan penampilan diri. Kajian mendapati bahawa seseorang yang sangat menitikberatkan penampilan lebih berkemungkinan untuk berjaya. Dari segi penampilan ini lah, remaja akan lebih yakin untuk mengekspresikan diri dan kebanyakan masyarakat akan lebih menumpukan penampilan seseorang. Namun, penampilan anda tidak bermakna seseorang remaja harus berpakaian mahal sebaliknya cukup untuk memakai pakaian yang dipadankan dengan baik supaya anda kelihatan lebih kemas dan rasa yakin untuk menyatakan pendirian anda kepada orang ramai.

Dari segi penampilan inilah, remaja akan dapat membina sebuah keyakinan diri untuk berhadapan dengan semua orang. Sebagai contoh, dalam etika pakaian terdapat pelbagai aspek yang dapat disentuh. Antaranya ialah perlulah sesuai mengikut masa dan keadaan. Sudah terang lagi bersuluh, apabila anda menitikberatkan penampilan, begitulah cara penerimaan orang lain terhadap kita.

Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria yang perlu ada untuk remaja mengekspresikan diri tanpa gentar ialah sentiasa tenang dalam setiap apa yang kita lakukan. Remaja perlulah menjadikan kritikan daripada masyarakat sebagai sumber kebangkitan dan jadikan sebuah pembelajaran. Apa yang remaja belajarlah inilah akan mengajar mereka untuk lebih matang untuk menyatakan pendirian mereka di hadapan khalayak ramai. Remaja yang sentiasa menjaga diri untuk bertenang selalunya mereka akan lebih bersifat terbuka dan sentiasa menerima kelemahan mereka terlebih dahulu.

Syed Quth pernah berkata bahawa “Ketenangan dan kebahagiaan hati adalah hembusan dari langit diturunkan ke lubuk hati orang beriman .Mereka akan tetap berhati teguh di kala orang lain dalam kegoncangan.” Kata-kata beliau ini jelas mengatakan bahawa orang yang tenang ini sememangnya mengetahui erti dan makna kehidupan serta sering merenung kembali sedalam-dalamnya setiap apa yang terjadi dalam kehidupan sehariannya. Dengan ini jelaslah bahawa remaja yang sentiasa tenang merupakan salah satu cara untuk mengekspresikan diri tanpa gentar.

Di samping itu, cara yang seterusnya ialah remaja perlulah bijak dalam menyesuaikan diri dengan orang lain. Dalam hidup ini, kita akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia dan pelbagai latar belakang. Jarang sekali kita akan bertemu dengan orang yang positif sahaja. Ada kalanya kita akan berhadapan dengan orang yang bersifat negatif. Dalam menghadapi pelbagai ragam manusia, kita tidak boleh bersifat statik atau kaku dalam pergaulan.

Oleh itu, remaja perlulah menyesuaikan diri dengan situasi dengan keadaan dan tempat. Barulah kita akan menjadi orang yang disenangi dalam pergaulan dan dapat mengelakkan konflik dengan orang lain. Sebagai contoh, apabila anda berada dalam persekitaran yang negatif, jangan mudah terpengaruh dan terikut-ikut. Jika mampu, jadilah seseorang yang mempengaruhi persekitaran kita dengan mengubah persekitaran yang negatif tersebut kepada persekitaran yang positif yang membantu memperbaikikan keadaan. Jelaslah bahawa bijak dalam menyesuaikan diri ini mampu menjadikan remaja untuk terus berekspresikan diri tanpa gentar.

Konklusinya, amatlah digalakkkan untuk remaja mengekspresikan diri tanpa getar agar mereka akan menjadi bakal pemimpin yang disegani. Dengan mengekspresikan diri, bererti remaja percaya bahawa suara mereka perlu didengar oleh orang lain. Pikirlah alasan mengapa orang perlu mendengar, mempercayai dan menghargai kata-kata anda. Sekiranya remaja berasa sulit untuk mengekspresikan diri, carilah sebabnya dan setidaknya pasti ada situasi tertentu yang kerap membuat anda dalam kesulitan.

Akhir kata, Ralph Waldo Emerson iaitu penyair Amerika pernah berkata “Beranilah menjalani kehidupan yang Anda impikan untuk diri Anda sendiri. Bergeraklah maju dan buatlah impian Anda menjadi nyata.”

Jelaslah keberanian dalam mengekspresikan diri ini sememangnya mampu membawa remaja ke arah kejayaan.

Artikel ini adalah pandangan, pendapat dan idea peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian EMPOWER Malaysia.

Photo by Miguel Á. Padriñán from Pexels

Write A Comment